Rawatan awal psoriasis cegah artitis psoriatik

admin on Sel, 09/06/2022 - 04:46

Originally published by Berita Harian - Julai 18, 2022 @ 9:00am

bh-image-1

Penyakit psoriasis adalah kompleks dan mempunyai pelbagai faktor yang mempengaruhinya seperti genetik serta komponen sistem imun badan - FOTO Hiasan

KULIT bersisik, bertompok merah, tebal dan merekah antara keadaan yang terpaksa ditanggung pesakit psoriasis sepanjang hayat mereka.

Lebih membimbangkan, penyakit ini juga boleh menjadi lebih kronik apabila artritis psoriatik menyerang sehingga menyebabkan beberapa bahagian sendi bengkak dan sakit serta berlaku kecacatan kekal yang tidak dapat diubati.

Menurut Pakar Dermatologi Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Dr Nazirin Skin Clinic, Dr Nazirin Ariffin, psoriasis adalah sejenis penyakit kulit kronik yang berkaitan dengan masalah autoimun, manakala artritis psoriatik pula adalah satu bentuk artritis kronik yang mungkin dihidapi sesetengah pesakit psoriasis.

"Ia boleh berlaku pada bila-bila masa, pada mana-mana bahagian badan, tidak kira lelaki atau wanita.

"Di Malaysia, kira-kira 500,000 rakyat Malaysia dikesan mempunyai psoriasis dan dianggarkan 30 peratus daripada mereka menghidapi artritis psoriatik.

"Tanpa rawatan awal yang betul, bahagian sendi dan tisu pesakit artritis psoriatik berisiko mengalami kerosakan kekal sehingga mengakibatkan kehilangan upaya," kata beliau pada Bicara BH bertajuk 'Ancaman Psoriasis Simptom Dan Rawatan Awal', secara maya di platform Facebook BH, baru-baru ini.

Punca, simptom awal

bh-image-2

Dr Nazirin berkata, psoriasis terjadi apabila sel kulit iaitu keratinocyte membahagi dengan lebih cepat berbanding kebiasaan.

"Bagi orang normal, sel kulit mengambil masa lebih kurang empat minggu untuk bertukar ganti, tetapi bagi pesakit psoriasis, pertukaran atau pembahagian sel kulit berlaku setiap tiga hingga empat hari.

"Keadaan ini menyebabkan sel yang terhasil tidak normal dan kulit yang terhasil lebih tebal, berkuping, pecah dan akan mendedahkan seseorang itu kepada jangkitan kuman pada bahagian kulit," katanya.

Sehingga kini, punca atau penyebab utama seseorang itu mendapat psoriasis belum dapat dikenalpasti.

Bagaimanapun, Dr Nazirin menjelaskan terdapat beberapa kajian yang menunjukkan kemunculan psoriasis berkait rapat dengan faktor genetik dan persekitaran.

Misalnya, apabila seseorang itu mempunyai ahli keluarga termasuk ibu, bapa atau adik-beradik yang mempunyai penyakit ini, individu berkenaan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapipenyakit psoriasis.

Dari segi persekitaran, antara faktor yang boleh menjadi pencetus psoriasis ialah trauma atau luka pada kulit, jangkitan kuman, pengambilan alkohol berlebihan, tekanan dan pengambilan beberapa jenis ubat.

Bagi mengelakkan pesakit psoriasis menderita keradangan yang lebih teruk, Dr Nazirin mengingatkan golongan ini agar peka mengenai gejala artritis psoriatik yang mungkin tidak sama bagi setiap pesakit.

Antara gejala yang biasa termasuk sakit pada bahagian bawah belakang, badan lesu, perubahan warna kuku, permukaan kuku tidak rata, sendi bengkak, serta jari tangan dan jari kaki bengkak.

Jika keradangan tidak dikawal, daya pergerakan pesakit akan merosot dan menjejaskan kualiti hidup.

Hilang keyakinan diri

bh-image-3

Terpaksa hidup dengan psoriasis dan artritis psoriatik pasti memberi pelbagai cabaran dalam kehidupan pesakit

Selain menderita kerana fizikal kulit yang terjejas teruk, kesakitan, kekakuan dan kelesuan akibat penyakit itu juga tidak dinafikan boleh mengganggu emosi pesakit.

Menurut Dr Nazirin, hampir 50 peratus mereka yang menghidap penyakit itu berdepan dengan kemurungan.

"Psoriasis menyebabkan masalah kulit dan apabila ia berlaku sudah tentu menjejaskan tahap keyakinan diri. Selain kemurungan pesakit juga akan berdepan dengan anxiety disorder (keresahan)," katanya.

Dr Nazirin turut menegaskan, penting bagi pesakit psoriasis menjaga tahap kesihatan mental mereka kerana ada kajian menunjukkan penyakit itu semakin kritikal jika mereka mengalami tekanan tinggi.

Rawatan

Menerusi program bual bicara sama, Dr Nazirin turut berkongsi beberapa rawatan bagi penyakit psoriasis.

Katanya, pesakit psoriasis perlu memahami dengan teliti keadaan mereka serta mendapatkan bantuan profesional di peringkat awal.

"Pesakit disarankan segera datang ke klinik ketika serangan psoriasis berlaku di mana kulit pesakit kebiasaannya akan kemerah-merahan, menebal dan menjadi gatal-gatal.

"Seterusnya rawatan akan diberikan mengikut tahap penyakit membabitkan penggunaan krim, pengambilan ubat seperti ubat biologics, rawatan phototherapy dan juga terapi pengurangan stres.

"Ubat biologics adalah salah satu pilihan rawatan baharu dalam bentuk suntikan yang boleh diberikan kepada pesakit yang menderita psoriasis pada kulit dan mengalami sakit sendi," katanya.

Dr Nazirin juga menjelaskan bagi keadaan psoriasis biasa, rawatan menggunakan krim pelembab, steroid atau vitamin D biasa digunakan untuk membantu mengawal psoriasis.

Jika keadaan pesakit lebih serius, penggunaan mesin phototherapy yang berfungsi mengeluarkan sinaran ultraviolet (UV) bersama dengan penggunaan krim boleh digunakan.

"Pada peringkat yang lebih kronik, pesakit mungkin perlu mengambil beberapa jenis ubat untuk mengawal psoriasis termasuk ubat biologics," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai langkah pencegahan, Dr Nazirin menasihatkan orang ramai supaya tidak melengahkan waktu untuk berjumpa dermatologi atau reumatologi bagi mendapatkan diagnosis segera dan seterusnya rawatan yang tepat," katanya.

Approval Code: MY2209055816