Kisah Pesakit #1:Mengatasi Kebimbangan Hidup Dengan Psoriasis

admin on Jum, 03/17/2023 - 01:42
By True Complexion

nizam

Saya dijangkiti psoriasis ketika berumur 26 tahun. Ia bermula dengan titik-titik kecil di dada saya sebesar syiling 10 dan 20 sen.

Saya bekerja dengan firma reka bentuk dalaman, dan apabila kami mempunyai projek besar ketika itu, saya akan tinggal di pejabat selama dua hingga tiga hari pada satu masa tanpa pulang ke rumah. Saya juga sedang belajar pada masa itu, dan tekanan untuk mengimbangi tanggungjawab universiti dan kerja adalah tinggi.

Apabila bintik-bintik merah mula muncul di dada saya, pada mulanya saya fikir ia adalah jangkitan kuman kerana saya tidur di pejabat agak kerap. Saya pergi berjumpa seorang doktor, tetapi dia tidak memberitahu saya yang simptom saya adalah sesuatu yang serius atau membimbangkan, jadi saya tidak mempunyai perasaan resah dan fikir ia akan reda dalam beberapa hari.

Tapi, keadaan kulit saya menjadi lebih teruk. Walaupun saya melawat beberapa doktor mengenai keadaan kulit saya namun doktor-doktor masih gagal untuk memberi jawapan tentang apa yang saya mengalami. Jadi saya melakukan penyelidikan saya sendiri di Internet dan mendapati bahawa simptom saya mungkin adalah psoriasis. Tapi, saya tidak mendapat diagnosis rasmi sehingga dua tahun selepas mengalami serangan pertama dan telah melawati pakar dermatologi dan mendapati saya ada psoriasis.

Saya masih ingat lagi apabila doktor menunjukkan saya artikel tentang psoriasis dan memberitahu saya ia adalah penyakit keturunan. Jadi saya menyemak semula latar belakang kesihatan ibu bapa saya, tetapi tidak ada seorang pun dalam keluarga saya yang mempunyai psoriasis sebelum ini.

Serangan paling teruk yang saya alami apabila seluruh badan saya diliputi dengan tompok merah, seolah-olah badan saya telah digunakan untuk melukis peta. Pada masa itu, seluruh tubuh badan saya amat sakit. Saya tidak boleh jalan atau lakukan segala aktiviti rutin harian saya. Kulit saya berasa pedih setiap kali saya mandi dan saya hanya boleh tidur selama dua hingga tiga jam sehari kerana kesakitan dan kegatalan pada tubuh badan.

Disebabkan kulit saya amat gatal, saya juga akan menggaru kulit saya sehingga berdarah. Saya terpaksa menukar cadar katil dan membersihkan lantai setiap hari kerana terdapat serpihan kulit kering saya di mana-mana. Saya juga terpaksa memakai pakaian berlengan panjang dan tidak boleh keluar di bawah cahaya matahari kerana kulit saya akan jadi pedih. Untuk melegakan kesakitan, saya sentiasa menyapu krim topikal yang diberikan oleh doctor saya kepada muka dan badan saya supaya kulit saya tidak menjadi kering. Ia amat membantu menagani simptom dan psoriasis saya.

Hari ini saya tidak lagi mengalami psoriasis yang teruk, tetapi tekanan dan diet yang tidak sihat boleh menjadikan kulit saya lebih teruk. Kali terakhir saya mengalami serangan psoriasi pada bulan puasa awal tahun ini. Tapi, sejak akhir-akhir ini sendi saya juga bengkak dan sakit terutamanya jari, siku dan bahu. Sebab itulah, mendapatkan rawatan yang betul dan berkesan adalah penting untuk mengawal psoriasis dalam jangka masa yang panjang.

Walaupun psoriasis memberi beban dan meyukarkan keadaan hidup saya, saya tetap merasa gembira kerana saya mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menolong dan menerima saya seadanya, bukan itu sahaja malah mereka memahami psoriasis saya.

Saya selalu berterus terang kepada semua tentang psoriasis saya, terutamanya dengan isteri dan anak-anak saya, jadi mereka sentiasa memahami dan membantu saya sebaik mungkin. Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana tetap berada di sisi saya dan tidak pernah gagal untuk memberi sokongan, semangat dan mendorong saya apabila bila keadaan menjadi sukar.

Nizam
By True Complexion

Approval Code: MY2302287622